Title: Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu
Author: Syed Naquib al-Attas
Publication:
ISBN: -
Rating: aaaa
Level:
Reviewed by: Muslihah
Hati yang hampa tiada mengandungi Sejarah Bangsa,
Tiadakan dapat tahu menilai hidup yang mulia,
Penyimpan Khabar zaman yang Lalu menambah lagi
Pada umurnya umur berulang berkali ganda.
Bahasa dan kesusasteraan itu sebenarnya lebih daripada sekadar keindahan kata-kata, bait-bait puisi dan rangkaian prosa-prosa meruntun hati. Daripada pembacaan makalah ini akan dapat kita temui satu kesimpulan yang sangat kukuh tentang bahasa Melayu dan peranannya dalam penyebaran Islam serta pengekalannya hingga ke hari ini. Sebetulnya menurut Syed Naguib, pendakwah dan Ilmuan Islam pada zaman tersebut telah memilih bahasa yang disebut sebagai bahasa Melayu itu menjadi bahasa pengantar Islam di nusantara/ Asia tenggara bukan secara kebetulan. Sedangkan pada waktu itu, bahasa Melayu bukanlah bahasa sehari-harian utama masyarakat meskipun bahasa Melayu dikenali sebagai lingua-franca (bahasa perdagangan). Penggunaan bahasa Melayu tidak sehebat penggunaan bahasa Jawa pada peringkat tersebut di mana pengaruh hindu dan buddha bertapak kukuh. Pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Islam sangat unik dan bukanlah sesuatu yang mengejutkan pula jika dinilai pada ciri-cirinya yang tersendiri.
Walaupun mungkin ramai yang meragui ketulenan dan keistimewaan Bahasa Melayu, namun sangat tidak keterlaluan jika dikatakan Bahasa Melayu ini ibarat bahasa Arab pada zaman Jahiliyyahnya. Bahasa ini masih suci dan dara. Masih belum terdapat pengaruh daripada agama-agama dan falsafah-falsafah lain. Bahasa ini senantiasa bersedia untuk dikembangkan mengikut corak agama Islam, menggunakan istilah-istilah yang sesuai untuk Islam sahaja pula. Dan tentunya perkembangan kedua-dua bahasa ini ( Arab dan Melayu) sangat-sangat dibentuk oleh Quran karim. Jika ada yang meragui kesucian Bahasa Melayu ini seperti yang didakwa, mungkin mereka harus mencari bukti yang menunjukkan kitab-kitab bagi agama buddha dan hindu dituliskan di dalam bahasa Melayu. Dan sejujurnya, agama-agama tersebut tidak pernah melahirkan ahli fikir atau failasuf Melayu-Buddha atau Melayu-Hindu seperti yang berlaku di negara-negara asalnya dan sepatutnya berlaku jika benar kedua-dua agama ini menjadi pegangan hidup masyarakat Melayu waktu itu. Sedangkan Islam telah berjaya melahirkan tokoh-tokoh intelek Melayu seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin ar-Raniri, Abdul Rauf Singkel dan ramai lagi setelah kebangkitannya di Nusantara.
Amat menarik juga untuk melihat corak dan pola kebudayaan masyarakat nusantara sebelum ketibaan Islam ke sini. Mengikut catatan sejarawan Belanda Pirenne, buddhisma, hinduisma dan animisma menjadi anutan masyarakat pada waktu itu. Kenyataan ini benar tetapi konsep anutan ini sama sekali berbeza kerana yang terserap oleh rakyat jelata waktu itu adalah sekadar hasil seni atau kebudayaan estetik agama seperti ritual-ritual dan penceritaan hikayat dewa-dewa. Kecenderungan masyarakat Melayu adalah kepada sifat seni daripada falsafah dan mereka tidak mendalami metafisika dan falsafah hindu dan buddha walaupun nilaiannya memang sangat elok. Rakyat telah menolak ke tepi pemikiran akliah, rasionalisma dan juga intelektualisma. Mereka sebaliknya pula telah menjadikan nilaian golongan bangsawan sebagai nilaian hidup mereka. Perlu diingatkan di sini bahawa pada zaman itu, hanya golongan bangsawan yang benar-benar mengambil berat terhadap anutan mereka. Ini kerana golongan bangsawanlah yang menentukan nilai hidup dan cita yang perlu dipegang oleh rakyat jelata. Justeru, kedua-dua agama ini sebenarnya tidak berjaya mengubah pandangan hidup masyarakat Melayu dan membentuk kefahaman mereka terhadap nilaian beragama. Yang diwariskan zaman berzaman hanyalah sekadar kebudayaan yang sangat luar dan tipis yang tidak bersandarkan kepada pemikiran akliah.
Memang benar kesenian adalah suatu ciri yang mensifatkan tamadun, namun pandangan hidup yang berdasarkan kesenian itu adalah semata-mata merupakan kebudayaan estetik, kebudayaan klasik, yang dalam penelitian konsep peradaban sejarah bukanlah menandakan suatu masyarakat yang bersifat keluhuran budi dan akal serta pengetahuan ilmiah. Bahkan sejarah telah mengajar bahwa semakin indah dan rumit gaya senirupa, maka semakin menandakan kemerosotan budi dan akal....dalam menilai peranan dan kesan Islam, ciri-ciri yang harus dicari oleh mereka bukan pada tugu dan candi, pada pahatan dan wayang - ciri-ciri yang mudah dipandang mata jasmani - akan tetapi pada bahasa dan tulisan yang sebenarnya mencarakan daya budi dan akal merangkum pemikiran. – muka surat 19.
Petikan di atas menggambarkan cara terbaik untuk kita menilai kebudayaan Melayu iaitu melalui bahasa dan tulisan. Turut diterangkan adalah kefahaman tentang kesusasteraan sendiri iaitu penulisan yang merangkumi bidang-bidang ilmiah seperti pemikiran politik dan pendidikan, juga meliputi bidang-bidang kebudayaan seperti hasil agama, falsafah, sejarah , hukum, undang-undang serta adat istiadat. Kelihatannya zaman sekarang telah merubah kefahaman generasi baru terhadap sastera dan kita lebih cenderung untuk mendefinisikan sastera sebagai gaya penulisan yang indah dan berasingan daripada penulisan akademik juga ilmiah. Kedatangan Islam ke nusantara sebenarnya sangat banyak membentuk dan mencorakkan kebudayaan masyarakat Melayu.Tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa kebudayaan Melayu memang tidak boleh diasingkan daripada nama Islam itu sendiri.
Kedatangan Islam ke Asia Tenggara telah banyak mempengaruhi cara hidup dan gaya berfikir masyarakat Melayu. Pada abad keenam belas dan ketujuh belas selepas kedatangan Islam, pembangunan rasionalisma dan intelektualisma sangat pesat berlaku. Ini menandakan peralihan zaman, pandangan hidup serta dasar kebudayaan masyarakat daripada dasar estetik kepada dasar saintifik. Dasar saintifik yang dimaksudkan adalah sesuatu dasar yang mempunyai bawaan dan sifat akliah berdasarkan ilmu pengetahuan, yang mempunyai cara dan gaya menganalisa sesuatu mengikut tatatertib ilmiah. Islam telah datang dan menerangkan konsep perihal Wujud secara rasional dan membuka lembaran baru kepada satu bahasa yang bakal dikenali sebagai Bahasa Melayu. Bahasa ini berkembang sejajar dengan kehendak pengetahuan Islam dan menjadikannya bahasa bertata logika, bahasa pemikiran akliah yang mengutamakan analisa. Aliran baru bahasa ini bersifat ringkas dan padat serta kemas gayanya. Inilah bentuk penulisan sastera ilmuan zaman lampau seperti ahli tasawwuf, ulama’, golongan ilmiah dan pensyarah. Hamzah Fansuri telah dimajukan oleh penulis sebagai pelopor aliran baru penulisan ini kerana beliau awal-awal sekali menulis secara rasional dan kritis, inteleknya telah berjaya menonjolkan fikiran murni manakala olahan bahasanya terkesan di fikiran serta keberaniannya menempuh saujana lautan falsafah.
Zaman telah banyak berubah sejak hari Bahasa Melayu diangkat sebagai pengantar agama ulung ini. Penghijrahan bentuk tulisan Bahasa Melayu daripada jawi kepada rumi sebenarnya merupakan salah satu agenda barat untuk memisahkan kita daripada identiti sebenar kebudayaan Melayu. Melayu kini telah menjadi seolah-olah asing dari Islam dan kabur tentang masa lampau yang sebenarnya cuba dipadamkan sedikit demi sedikit, hari demi hari. Kehilangan sejarah Islam inilah menjadi faktor kehilangan identiti bangsa kita yang dicari-cari lewat masa ini. Sastera itu lambang kebudayaan utama kita.Sastera pada zaman lampaunya tidak wujud sebagai novel-novel picisan bahkan sastera merupakan wadah utama segenap ilmu-ilmu untuk diperkembangkan di Asia Tenggara. Penulis diakhirnya telah memetik kisah Laila Majnun dalam memperkatakan tentang kedalaman cinta yang harus ada pada para sarjana Islam terhadap sejarah kita. Meskipun buruk di pandangan orang tetapi hakikat cinta yang benar dan jujur itu menembusi pandangan zahir.
Sebagai penutup ; kesusasteraan itu mencerminkan tamadun, yang merupakan kehidupan intelek...bahasa dan kesusasteraan itu memang merupakan intisari hasrat dan pemikiran insan dalam kehidupan – muka surat 65.
[More...]
terima kasih pada review yang sangat baik sekali. terima kasih sekali lagi
ReplyDeleteJom membaca..! :):)
ReplyDeleteFaizal ada tulis ni, mungkin ada yang interested: http://rausyanfikir.com/2008/04/bertemu-intelektual-ulung-nusantara.html
ReplyDelete