Field: Islam
Title: Fiqh Ikhtilaf

Author: Yusuf Qardhawi

Publication: As-Syabab Media 2003
ISBN: 983-9435-63-9

Rating:
aaaa
Level: Beginner

Reviewed by: Safwan

Perbezaan pendapat (ikhtilaf) merupakan isu yang melanda umat Islam di seluruh dunia. Hal ini boleh jadi kritikal, dan boleh juga menjadi kebaikan yang dikongsi bersama- bergantung kepada pemahaman umum terhadap ikhtilaf. Buku yang ditulis oleh Dr Yusuf Qardhawi ini telah berjaya memberikan penjelasan yang mudah dan menyeluruh terhadap isu ini. Tajuk penuh buku ialah “Fiqh Ikhtilaf, Perbezaan Pendapat Antara Gerakan Islam- yang Dibenarkan dan Dilarang”.

Setelah menerangkan jenis dan sebab ikhtilaf, beliau dengan tegasnya membicarakan kewajipan untuk umat islam bersatu, dan memberi amaran akan dosa perpecahan. Hadith “perpecahan umat menjadi 73 golongan” juga telah dibahaskan statusnya, lalu meletakkan kedudukan hadith tersebut sebagai daif (lemah).

Buku ini diteruskan lagi dengan suatu perbahasan yang ringkas tetapi cukup kukuh, akan sebab perlunya berbeza pendapat dalam masalah cabang. Menurut penulis, ia bukan sahaja suatu kemestian, malah rahmat dan kebebasan untuk semua. Faktor ikhtilaf dalam masalah cabang juga disenaraikan sebagai empat: tabiat agama, bahasa, manusia, dan alam kehidupan.

Setelah menyentuh dan menjelaskan isu ikhtilaf dalam masalah-masalah kecil dan cabang, beliau tidak lupa untuk menasihati pembaca akan masalah-masalah yang lebih besar dan utama yang perlu semua orang tumpukan. Nasihat-nasihat lain, seperti toleransi, kerjasama, dan bersederhana juga telah disuarakan di bawah tajuk-tajuk khusus. Moral atau sikap yang sepatutnya umat Islam amalkan dalam berikhtilaf juga telah dihuraikan dengan panjang dalam bab yang tersendiri.

Sebagai penutup, penulis telah membicarakan sedikit-sebanyak tentang Imam Hasan al-Banna dan sumbangannya terhadap pemahaman fiqh ini. Juga disuarakan bahawa adalah mustahil untuk mencapai ijma’ (konsensus) dalam persoalan furu’iyah (cabang).

[More...]

No comments:

Post a Comment