Field: Islam
Title: Fikah Luar Negara
Author: Maszlee Malik dan Hamidah Mat

Publication: PTS Millenia Sdn. Bhd
ISBN: 978-983-3603-00-8

Rating: 4/5
Level: Beginner
Reviewed by: A.S Abd Mokti

Fikah Luar Negara adalah buku wajar dimiliki oleh setiap pembaca dari segenap lapisan masyarakat, terutamanya bagi individu Muslim yang selalu bermusafir ataupun telah berada di luar Negara dan mereka yang berminat untuk mengetahui selok belok fiqh semasa musafir.

Buku ini padat dengan topik-topik fekah kontemporari yang seringkali menjadi perbincangan dan perbahasan bukan sahaja orang awam malahan para ulamak, dan majlis fatwa seluruh dunia. Buku ini dimulakan dengan memperkenalkan kepada pembaca mengenai prinsip-prinsip fikah luar Negara yang banyak bersangkut paut dengan Maqasid Syariah dalam menetapkan hukum-hukum Islam serta keharusan dan penyesuaian berdasarkan kadar semasa umat Islam.

Seterusnya, penulis mengeksplorasi tajuk-tajuk seperti kaedah menyucikan daripada najis Babi, Keharusan menyapu khuf, stoking atau kasut semasa bermusafir dan perbincangan para ulamak mengenai syarat-syarat melakukannya berdasarkan dalil-dalil quran dan sunnah serta rasional setiap perkara. Penulis dengan bijak mengemukakan dalil dan perbahasan ulamak dalam bentuk ‘point form’ agar pembaca tidak terlalu terkeliru dengan perbincangan yang panjang lebar, sebaliknya hanya mengambil intipati penting perbahasan tersebut. Suatu perkara lagi yang menarik mengenai perbincangan fikah di dalam buku ini adalah keluasan pengamatan pendapat para ulamak dan tidak terlalu rigid dan hanya berdasarkan pendapat mazhab imam syafie.

Seterusnya, dengan menggunakan teknik yang lebih kurang sama seperti tajuk sebelumnya dengan menyelitkan sedikit unsur humor, penulis menerangkan kepada pembaca tentang rukhsah solat jamak yang dipinggirkan. Kontrari kepada pendapat sesetengah ulamak pondok dan mazhab hanafi, rukhsah solat jamak menurut penulis boleh dipraktikkan bukan sahaja semasa musafir tetapi juga semasa hujan, sakit dan hajat atau kepayahan yang timbul, berdasarkan dalil-dalil dan hujah para ulamak. Penulis juga menerangkan serba sedikit mengenai solat qasar walaupun umum telah mngetahui perihal mengenainya. Dalam tajuk ‘saya pilih koshe’ pula, penulis membincangkan perbezaan pendapat ulamak mengenai perihal sembelihan ahli kitab (orang yahudi dan kristian) dan sejauh mana keharusan umat Islam dalam memakan sembelihan mereka

Selain itu, penulis juga membincangkan perihal pakaian wanita dan lelaki Islam yang wajib dipatuhi tetapi telah mula dilupakan dek kerana mengikut-ikut budaya barat yang tidak selari dengan Islam. Penulis juga membidas pendapat-pendapat sesetangah individu berpahaman feminis liberal yang menyatakan Islam agama yang anti-feminist dan male chauvinist kerana ‘mengurung’ wanita di dalam pakaian mereka. Berkait rapat dengan fahaman ini juga, penulis dengan tegas membidas hujah-hujah golongan ‘wadudiyah’ diketuai Dr Aminah Wadud yang membolehkan wanita mengimamkan solat jumaat dengan rasional, berdalil dan tidak emosional seperti yang mungkin dilakukan oleh sesetengah penulis lain.

Selain membincangkan mengenai ibadah solat dan bersuci, penulis juga membuka tajuk perbincangan fiqh kepada perkara-perkara kebudayaan yang dicedok oleh umat islam tanpa ‘tapis seperti hukum bertatu dan bertindik, perihal meraikan hari kekasih atau ‘valentine’s day’ dan budaya meraikan tahun baru yang tidak islamik dan hanya merugikan dan merosakkan muda mudi umat Islam. Penulis juga tidak lupa memeberi peringatan di dalam buku ini akan kewajipan yang semakin dilupakan oleh umat Islam iaitu menyampaikan Islam kepada orang Islam dan bukan Islam sama ada di dalam ataupun luar Negara.

Secara keseluruhannya, buku ini mampu memberi sedikit sebanyak panduan kepada pembaca berkenaan fiqh seharian dalam kehidupan seorang Muslim. Ia jua merupakan buku yang mampu menjadi pencetus kepada pembaca agar tidak hanya ‘bertaklid buta’ tetapi juga mengkaji dan mengambil kira dalil, hujah dan pandangan banyak pihak terhadap fiqh seharian.

[More...]

No comments:

Post a Comment